Monday 13 January 2014

Selawat Makbul Doa

Teks: Azlina Zabha

Alhamdulillah. Esok saya bercuti sempena Maulidur Rasul, 12 Rabi'ul Awal. Kebetulan banyak betul kerja-kerja sekolah yang perlu saya siapkan. Syukur Allah beri masa yang banyak untuk menyiapkannya. Mudah-mudahan waktu terluang yang luas ini, kita dapat manfaatkannya sebaik mungkin.

Pada waktu saya kecil, berumur sembilan tahun, Allahyarham abah pernah bertanya, saya inginkan apa untuk peperiksaan yang saya akan duduki. Saya hanya menyatakan padanya yang saya ingin sangat dapat Tempat Pertama di dalam kelas. Allahyarham abah pesan, berselawatlah sebanyak mungkin. Mesti saya akan dapat apa yang saya inginkan.

Dalam usia sebegitu, apa sahajalah yang saya fikirkan kecuali ikut sahaja nasihat Allahyarham abah itu. Putih kata Allahyarham abah, putih jugalah terima. Tanpa bersoal panjang, saya amalkannya. Alhamdulillah. Benarlah kata Allahyarham abah. Saya dapat yang saya inginkan.

Jika saya dalam keadaan yang sangat resah, saya juga akan mengamalkan bacaan Selawat ke atas Nabi S.A.W. Contoh yang paling remeh, sewaktu saya ingin pulang ke Batu Pahat, Johor dari Tanjung Malim, Perak, saya perlu menaiki beberapa buah bas untuk tiba di perhentian bas yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan bas-bas ke selatan. Tiba-tiba, dalam perjalanan yang singkat tersebut, perut saya meragam. Allah sahaja yang tahu betapa paniknya saya pasa waktu itu sebab agak mustahil untuk berhenti di tengah perjalanan sedangkan saya benar-benar ingin ke tandas waktu itu. Saya berselawat sepanjang jalan sambil berdoa agar saya sempat ke tandas. Allah makbulkan doa saya. Alhamdulillah.

Dengar seperti remeh, tapi itulah antara kelebihan berselawat. Apa kata sempena malam Maulidur Rasul ini, kita sama-sama banyakkan berselawat. Kita semua semakin matang dalam menjalani kehidupan ini, ada masanya, kita lupa untuk amalkan perkara yang mudah dalam hidup sehari-hari.

Apa yang saya tulis ini, sekadar satu perkongsian. Bukan untuk bermegah-megah. Mohon jangan salah anggap, ya!

Senyum selalu. :-)

No comments:

Post a Comment