Saturday 10 October 2015

Makaroni Goreng Ala Barat

Teks : Azlina Binti Zabha
Imej : Azlina Binti Zabha

Hari ini merupakan Hari Sukan Negara. Hari Sukan Negara adalah kesinambungan daripada program Fit.My. Sekolah saya turut terlibat dalam menyahut seruan negara agar menjayakan program tersebut.

Senamrobik merupakan acara utama dalam program pada hari ini. Murid-murid dijemput hadir ke sekolah menyertai program. Manakala guru-guru diwajibkan hadir bersama-sama meraikannya.

Selesai sahaja program tersebut, saya dan rakan-rakan masuk ke dalam bilik guru untuk menikmati jamuan ringan yang disediakan secara potluck. Beberapa hari sebelumnya, saya asyik berfikir, apa yang boleh saya buat untuk jamuan potluck ini. Jadi,  saya dan dua orang guru berpakat untuk kumpul sejumlah duit. Maka, terhasillah makaroni goreng ala barat.

Saya ingin ambil peluang ini berkongsi dengan pembaca, apakah bahan-bahan serta cara-cara membuat makaroni goreng ala barat. Mudah sangat. Bahan juga senang didapati.

Bahan-bahan
1 bungkus makaroni (San Remo) ~ direbus & ditos
1/2 tin Mushroom Soup (Campbell)
1/2 bawang besar dipotong dadu
1 kotak kecil susu segar (Goodday)
1/2 ayam bahagian dada (keel) dipotong dadu
3 sudu lada kisar
1/2 kiub ayam
1 mangkuk kecil mix vege
2 tangkai lada hidup merah & hijau (dipotong mayang)
3 sudu minyak masak
Garam secukup rasa
1 sudu kecil gula

Cara-cara
1) Tumis bawang merah hingga naik bau.
2) Masukkan lada kisar dan kacau. Tunggu sampai naik minyak.
3) Masukkan ayam, mushroom soup, dan susu segar. Gaul hingga sebati.
4)  Masukkan kiub ayam.
5)  Letak garam dan gula secukup rasa.
6)  Tutup api dan masukkan makaroni. Gaul hingga rata.
7) Masukkan lada dan gaul.

Siap untuk dihidang. Boleh taburkan daun sup di atasnya. Gambar nanti saya upload di lain hari untuk sesi ulangan membuat makanan ini.

Terima kasih buat Kak Lily yang berikan pada saya idea membuat makaroni goreng English Style ini. Rasanya memang belum pernah saya rasa sebelum ini. Makaroni goreng ini rasanya seperti diletakkan keju, tapi tiada keju. Rasa mewah dan semestinya sedap!

Jemput buat, ya para pembaca! Anak-anak kita pun boleh makan makaroni goreng ala barat ni sebab ia tidak pedas walau ada lada kisar. Elok dibuat menu untuk sarapan ataupun makan malam.

Bisik-bisik : Ini entri saya yang ke-49 kalau tidak silap. Alhamdulillah. Tamat lagi satu entri. Moga Allah beri lagi saya idea yang mencurah-curah untuk entri-entri seterusnya.

No comments:

Post a Comment