Sunday 9 May 2021

PdPR dan Guru

 Teks : Azlina Zabha

Yahooo, PdPR datang lagi! Itu ungkapan yang saya ucapkan bila diumumkan PdPR akan dimulakan semula selepas cuti Hari Raya Aidilfitri versi Pandemik Covid-19. Saya beri ekpresi gembira, tapi dalam hati, Allah sahaja yang tahu, jiwa pendidik sahaja yang tahu apakah perasaannya.

                     Demi Allah, tiada seorang pendidik pun suka dengan PdPR. Apakan daya, itu sahaja cara untuk kita terus berjuang melawan dan mengawal penularan Covid-19. Kami guru-guru memang bersemangat kental menghadapi cabaran ini. 

                      Dalam sendu, kami terus mewujudkan modul PdPR untuk murid-murid. Modul yang kami maksudkan ini adalah berbentuk kertas set soalan yang perlu murid bawa pulang ke rumah. Jadi, semasa PdPR, murid tidak perlu cari pencetak untuk mencetak segala tugasan. 

                        Besar harapan kami agar semua murid membuat segala tugasan PdPR yang akan diberi semasa PdPR nanti. Dalam menjayakan perkara ini, kami mohon sangat ibu bapa / penjaga penuhkan tangki emosi dengan perkara yang positif untuk anak-anak. Tidak semudah perkataan yang ditaip ini, tapi itulah anak kita. Keturunan kita. Bentuk mereka akur dengan arahan guru dengan penuh kasih sayang.

                         Tidak semudah yang disangka, ya tuan-tuan dan puan-puan. Kami juga manusia sama seperti tuan-tuan dan puan-puan. Kami juga ada anak-anak yang perlu menyiapkan tugasan PdPR yang diberi oleh guru mereka juga. Sama-sama kita galas tanggungjawab wajib ini. Ya, menuntut ilmu memang wajib, kan? Apa nak jadi pada anak kita jika tanpa ilmu? Bagaimana dia nak hidup selepas kita tiada? Tanpa ilmu? Tepuk dada tanya diri sendiri.

                          Ibu bapa/penjaga mesti risau dengan penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak. Sukar bukan? Buatlah Reward Chart untuk anak-anak. Utamakan solat & amalan baik dalam carta tersebut. Saya akan kongsikan contoh Reward Chart untuk anak-anak kita.

                          Sabar ya semua. Allah kan ada. ❤️❤️❤️


No comments:

Post a Comment