Wednesday 19 March 2014

Gula Tinggi Semasa Mengandung

Teks : Azlina Zabha
Minggu kehamilan : 35
Kartun : SparkPeople



Sejuk. Sunyi. Saya hanya mendengar suara alunan ayat Al-Quran sahaja waktu subuh begini. Hari ini merupakan hari ketujuh saya ditahan di salah satu Wad O&G, Hospital Besar Melaka.

Sebenarnya, saya ditahan bukan kerana Diabetis Gestasi (kencing manis semasa mengandung), tapi disebabkan hal lain. Nanti saya akan ceritakan di entri yang akan datang. Untuk entri kali ini, saya akan beri sedikit info tentang Diabetis Gestasi.

Masuk minggu ke-28 kehamilan yang lalu, saya dikehendaki minum air gula untuk ujian gula dalam darah. Jika di sini, hanya hari Rabu sahaja dijadualkan untuk MGTT ( Modified Glucose Tolerance Test ). Seawal pukul 8.00 pagi, saya diberi minum air gula oleh Jururawat Masyarakat di Klinik Kesihatan Ayer Molek setelah berpuasa dari pukul 12.00 tengah malam.

Segelas air gula yang telah disukat gulanya beberapa gram, memang sangat manis dan memualkan. Setelah itu, saya rehat selama dua jam, masih tidak boleh makan dan minum. Kemudian, tepat jam 10.00 pagi, jururawat akan memanggil nama saya untuk diambil darah untuk ujian kandungan gula dalam darah.

Keputusan ujian akan diberitahu pada temujanji yang akan datang. Namun jika keputusan ujian tidak bagus, kita akan dihubungi pada hari berikutnya dan diikuti dengan ujian berikutnya, iaitu PSB.

Ini merupakan kali pertama pengalaman saya berhadapan dengan masalah Diabetis Gestasi. Disebabkan ujian MGTT saya tidak bagus, saya perlu  menjalani ujian PSB pula sehari suntuk pada Isnin berikutnya.

Seperti biasa, saya perlu berpuasa bermula jam 12.00 tengah malam, Ahad. Isnin pula, tepat pukul 8.00 pagi, darah saya diuji. Kemudian saya boleh bersarapan, dua jam seterusnya, saya perlu berpuasa lagi untuk diuji darah pada pukul 10.30 pagi. Diikuti dengan pukul 2.00 petang dan pukuk 8.00 malam. Dua jam sebelum sesi ujian darah tersebut, saya perlu berpuasa juga.

Keputusan ujian? 5.7, 4.4, 4.7 dan 4.9. Alhamdulillah. Asalkan bacaannya tidak mencecah 7.0, keputusan kita dianggap bagus. Namun setiap bulan saya akan disuruh melakukan ujian PSB tersebut.

Jika di wad ini, saya perlu menjalani ujian PSB tersebut pada setiap hari sehingga doktor berpuas hati dengan keputusan ujian PSB saya.

Adakah setiap ibu mengandung perlu minum air gula (MGTT)? Ya. Sekali setiap kali kandungan mencecah 28 minggu.

Namun jika kita mempunyai keturunan ibu dan bapa yang menghidap kencing manis, dan berat naik mendadak ketika mengandung, kita perlu minum air gula sebanyak dua kali. Iaitu semasa awal kandungan, dan semasa minggu ke-28 kandungan.

No comments:

Post a Comment